بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Segala puji bagi Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hari ini dibuka pintu hati untuk menulis semula walau hampir setahun menyepi. Mungkin ini coretan yang pertama dan yang terakhir untuk tahun 2013 ini.
Syukur Alhamdulilah atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan sepanjang hidup ini. Masih segar lagi dalam ingatan ketika minggu pertama di Kota London. 23/9/2009 ,tarikh yang takkan pernah aku lupakan. Tarikh yang memberikan padaku seribu makna, yang mengajarkanku tentang takdir , yang membuatkan aku sedar akan hakikat sebuah kehidupan.
Dinginnya bayu ketika pertama kali menjejakkan kaki di Kota London membuatkan aku lupa untuk seketika keletihan 16 Jam penerbangan dari Malaysia. Diri terasa bagaikan di puncak dunia tatkala memikirkan keringat yang dicurahkan demi melanjutkan pelajaran di United Kingdom.
Segala usaha dan pengorbanan telah aku curahkan dan kini tiba masa nya untuk aku mengorak langkah , memulakan sebuah kehidupan yang serba baru. Sepanjang perjalanan dari Heathrow ke Finsbury Park, aku melihat akan deretan pokok-pokok serta rumah yang ternyata berbeza berbanding Malaysia. Terlalu banyak yang ingin aku kongsikan kepada mereka di kampung yang menanti akan panggilan dariku.
Ya Allah, tuhan yang Maha Pemurah, betapa nikmatnya dingin malam di Kota London. Seorang abang yang menjemput aku hanya mampu tersenyum melihat akan keterujaan aku menikmati suasana di bumi asing itu.
Keesokan harinya, aku dibawa menyusuri sungai Thames. Dari jauh, kelihatan tersergam indah Parliment House, Big Ben serta Eyes of London yang menjadi tumpuan utama para pelancong. Tuhan saja yang tahu betapa aku bangga kerana berjaya menjejakkan kaki di itu situ. Bersaksikan Sungai Thames, aku cuba merenung akan nasibku sepanjang 3 tahun di London. Ketika hanyut di buai mimpi indah, aku tersentak. Terlintas di fikiran, apa mungkin aku mampu untuk hidup 'SENDIRI' sepanjang 3 tahun pengajian di London.
Memandangkan aku merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian di univesiti tersebut, maka sedikit sebanyak aku menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri ketika menghadiri kuliah. Ternyata terlalu sulit bagi aku untuk memahami apa yang diajar pensyarah. Terlalu sukar kerana aku bersendirian.Usahkan sahabat, teman pun tiada. Benar tidak ku mampu menduga lautan yang luas.
Ketika menuju pulang ke rumah, aku melihat akan daun-daun kuning yang layu. Musim itu musim luruh dan aku mendongak, merenung tajam ke arah pohon-pohon di sepanjang jalan. Di saat itu, jauh ke dasar hati, aku mulai sedar akan semangatku yang mulai gugur bersama daun-daun yang layu.
Sukar, terlalu sukar bagi aku untuk mengerti bagaimana hati aku masih di Malaysia sedangkan jasad aku di London. Minggu pertama adalah minggu yang cukup membahagiakan bagi pelajar lain tapi ianya merupakan minggu air mata buat ku.
Ya, aku lupa untuk belajar tentang hakikat ketentuan dariNya..Apa yang dulunya kelihatan indah rupanya mimpi ngeri bagi aku. Aku tak mampu Ya Allah melalui jalan yang gelap ini sedangkan aku sendiri tidak pasti akan haluan ku. Menitis air mata, aku kuatkan semangat untuk menjelaskan tentang keadaan aku kepada Ibu dan Ayah di kampung. Kecewa, sedih, malu, tak dapat aku gambarkan perasaan meraka. Apa yang pasti aku sudah tidak mampu melangkah lagi.
Ya Allah, ujian apakah ini ? Aku tak mampu yang Allah menghadapi dunia yang terlalu asing ini. Aku takut ya Allah kiranya aku gagal di tengah jalan. Aku malu ya Allah kerana silap dalam membuat penilaian.
Fitrah seorang ibu sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak nya. Namun ibu tak sanggup melihat aku merana, hidup bertemankan kesepian dan kesedihan. Ayah cuba menghalang keputusan aku untuk pulang meneruskan pengajian di Malaysia, cuba mengajarku untuk melihat dari sudut yang berbeza. Tapi aku masih dalam dilema. Cuba mencari hikmah yang tersembunyi disebalik kekusutan yang dialami.
Bulan-bulan lama nya cuba untuk aku fahami tapi aku cuma mampu melihat bahawa meneruskan pengajian di Malaysia merupakan cara yang terbaik untuk aku keluar dari masalah ini. Sehingga sampai suatu masa, aku tersedar di tengah malam dan melihat ke luar tingkap. Pada ketika itu aku sedar betapa aku berdosa padaNya. . Betapa apa lupa bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan seorang insan, baik mahupun buruk, manis atau pun pahit adalah merupakan Qada' dan Qadar dariNya. Aku sebagai hamba hanya mampu merancang dan berusaha dan Dia lah, tuhan sekalian Alam, yang menguasai langit dan bumi yang menentukan segalanya. Tanpa aku sedar, air mata aku mengalir dan ketika itu dapat aku rasakan betapa luas nya kehidupan ini.
'Ya Allah, aku datang kepadaMu, memohon ampun atas segala dosa-dosaku, ampunilah aku kerana lalai dalam mengingatiMu, dan ampunilah aku kerana mempersoalkan ketentuan dari Mu.'
Ketika itu Allah SWT telah membuka pintu redha dalam hidupku, dan itulah pintu yang agung, sempurna dan paling mulia dalam hidup ini
'Ya Allah, yang Maha pengasih, sesungguhnya engkau Maha mengetahui apa yang terbaik untuk ku, maka bukalah jalan untukku, permudahkanlah segala urusanku sepanjang pengajian aku di London, bimbing lah aku ke arah jalan yang benar Ya Allah, jalan yang Engkau redhai.
Kiranya ini ketentuan dariMu untuk aku hidup berjuang di Kota London, maka aku redha, kerana sesungguhnya Engkau tetap bersama mereka yang sabar. Walaupun berat tetap aku melangkah jua. Aku telah ketinggalan jauh. Di saat mereka berjalan aku perlu berlari mengejar apa yang telah aku tinggalkan membawa bersama harapan dan impian yang kian pudar.
Jalan yang dilalui penuh berliku. Terlalu sukar dan seringkali terjatuh, kecewa dan pilu menjadi teman di kala sunyi. Namun aku punya Kau ya Allah, tuhan yang Maha pengasih lagi Maha mengasihani. Aku yakin Dia telah merancang sesuatu yang baik untukku. Pedih dan sedih membawa aku cuba untuk mengenal Sang Pencipta.
3 tahun berlalu, akhirnya tamat segala kisah derita. Syukur ya Allah..Syukur atas segala nikmat dan kemudahan yang telah Engkau kurniakan. Apa yang aku rasa suatu kesilapan 3 tahun lepas, hari ini aku mengerti itu adalah suratan dariNya.
Pada 31/8/2012 aku secara rasminya menamatkan 3 tahun pengajian di University College London. Segala penat lelah hilang bila aku mendapat tahu keputusan ujian yang selama ini dinanti. Demi sehelai kertas yang bernama Ijazah ini, aku belajar bukan hanya tentang sains kejuruteraan tapi erti pengorbanan, tawakkal dan redha.
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; "
Pada 5/5/2013 aku berangkat ke South Korea, untuk bekerja sebagai Engineer di sebuah syarikat perkapalan. Alhamdulilah , Allah SWT memberi aku peluang untuk menimba pengalaman kerja di negara orang. Kini hampir 7 bulan di Korea, terasa masih jauh lagi perjalanan ini. Semoga pekerjaan ini mendekatkan lagi diri ini kepada Mu ya Allah.
Memang tidak dinafikan kehidupan disini juga sukar namun apa pun yang terjadi dalam hidup kita nanti, kena cuba yakin itu semua KETENTUAN dariNya dan cuba REDHA menghadapiNya.
Surah Al-Thalaq ( Ayat 2-3)
"Barang siapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (3)
No comments:
Post a Comment