Saturday, July 7, 2018

Berpada-padalah Dalam Menghukum

Tidak dinafikan bahawa ramai yang marah selepas melihat pembongkaran demi pembongkaran oleh pihak berkuasa dalam kes 1MDB baru baru ini. Memang menjadi fitrah setiap insan pastinya akan merasa marah terhadap ketidakadilan dan kezaliman yang telah berlaku. Benci pada kezaliman juga merupakan salah satu sifat orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Namun dalam kebencian tersebut, hendaklah kita sentiasa berwaspada agar tidak terjerumus dalam perangkap iblis dan syaitan yang sememangnya telah menjadi musuh yang nyata terhadap umat manusia sejak azali lagi. 

Bila kita berbicara tentang pendosa, jangan kita terlalu mudah untuk jatuhkan hukuman sehingga bagaikan telah tertutup pintu keampunan baginya. Sebagai seorang hamba kita kena yakin bahawa tiada yang layak untuk menentukan syurga dan neraka melainkan Allah yang Esa.

Agama ini antara takut dan harapan. Kita menjauhkan diri dari segala bentuk kemaksiatan kerana takut dicampakkan ke dalam neraka dan pada masa yang sama kita beramal dengan harapan agar dimasukkan ke dalam syurga yang kekal abadi. Hakikatnya tiada kepastikan dalam perjalanan hidup setiap insan. Agama datang menawarkan harapan bagi pendosa dan juga sebagai peringatan untuk seluruh umat manusia.


"Najib dan Rosmah bakal ahli neraka! Tiada lagi pintu keampunan buat mereka!"
Nauzubillah.

Memang benar sekiranya didapati bersalah mereka seharusnya dihukum setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Namun bukanlah tugas kita untuk menentukan pengakhiran meraka di akhirat kelak

Banyak kisah-kisah yang menceritakan tentang bagaimana Allah SWT menerima taubat setiap hambaNya yang ikhlas. Ada kisah yang menceritakan tentang seorang pemuda yang sepanjang hidup melakukan dosa dosa besar sehinggalah pada suatu masa terlintas di sudut hati pemuda tersebut untuk kembali kepada Allah SWT. Ketika dalam perjalanan, pemuda tersebut meninggal dunia tanpa sempat melakukan suatu kebaikan sekalipun. Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosanya dan dia telah dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatNya.

Namun Al-Quran seharusnya dijadikan rujukan yang paling utama kerana apa yang dikisahkan di dalam Al-Quran adalah benar dan sahih. Allah SWT telah merakamkan kisah Nabi Musa secara terperinci bagi mengajar kita tentang sesuatu perkara yang seharusnya kita pegang dalam kehidupan kita sepanjang di dunia ini.

Meskipun sudah diketahui umum bahawa Firaun adalah seorang manusia yang sombong dan zalim, namun Allah SWT tetap mengarahkan Nabi Musa AS untuk pergi berdakwah kepadanya. 

"Maka katakanlah (kepada Firaun), 'Adakah keinginanmu untuk membersihkan diri (dari kesesatan), dan engkau akan ku pimpin ke jalan Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya?'"
[an-Nazi'at, 79:18-19]

Walaupun Allah SWT telah mengetahui lebih awal tentang pengakhiran Firaun yang tetap akan mati dalam kekufuran, Allah SWT masih lagi memberi harapan dengan mengutuskan Nabi Musa AS untuk pergi berdakwah kepadanya.

Sekiranya Firaun yang mengakui dirinya sebagai Tuhan itu masih lagi diberikan harapan oleh Allah SWT, mana mungkin sudah tiada peluang lagi untuk kita. Sebesar mana pun dosa yang telah dilakukan, kita kena sentiasa ingat bahawa sebesar itu jugalah pintu keampunan Allah SWT terhadap hambanya. 

Dalam Al-Quran, Allah SWT memberi ancaman kepada mereka yang berbuat kerosakan di muka bumi ini. Namun Allah SWT juga menceritakan tentang perihal keampunan, syurga dan segala jenis kenikmatan yang ada padanya. Bila kita sedar akan hakikat harapan dan keampunan yang Allah SWTtawarkan, pastinya kita tidak akan mudah menghukum orang lain.






Friday, July 6, 2018

Duhai Isteri, Aku Tidak Sempurna

Setiap kali berlaku musibah, contohnya anak jatuh sakit baru-baru ini, saya sentiasa pesan pada isteri agar bersangka baik pada Allah swt. Saya tidak berada di tempat isteri dan tidak mampu untuk memahami kesulitan yang terpaksa dia hadapi. Dengan kesibukan kerja dan tinggal berjauhan dengan suami dan keluarga, memang sesuatu yang sukar untuk si isteri menghadapi ujian yang melanda terutama bila terpaksa bermalam di wad sehingga seminggu lamanya.

Apa pun yang terjadi saya minta agar isteri bersyukur kepada Allah swt. Bukan kerana dikurniakan suami yang baik dan banyak membantu tapi kerana rahmat dan pertolongan dari Allah swt. Memang menjadi impian seorang suami untuk menyediakan sebuah kehidupan yang sempurna bagi keluarga. Namun Allah swt merencanakan sesuatu yang berbeza untuk kehidupan kami. 

Tasha dimasukkan ke ward kanak kanak KPJ Specialist Hospital Kajang pada 27 June 2018 kerana penyakit astma. Tasha terpaksa ditahan di dalam wad sehingga 1 July 2018



Barangsiapa yang mengharapkan kesempurnaan di atas muka bumi ini maka dia tidak akan pernah bahagia. Kerana dia mengharapkan sesuatu yang mustahil, sesuatu yang tidak mungkin dia raih. 

Di antara hikmah Allah swt tatkala menjadikan tidak ada yang sempurna di muka bumi ini, agar seorang mukimin sentiasa rindu untuk mencari kesempurnaan dan dia tidak akan peroleh kesempurnaan tersebut kecuali di akhirat kelak.



Sesiapa yang menyedari hakikat kebahagian di dunia ni, pastinya dia lebih tahu bagaimana untuk menghadapi kenikmatan kenikmatan yang tidak sempurna tersebut. 

Di antara sabda Nabi SAW 

Janganlah seorang suami membenci seorang isteri yang mukminah, jika dia membenci satu perangai tentang isterinya maka dia akan redha dengan akhlaknya yang lain.


Meskipun berbicara khusus tentang para isteri, ini adalah satu kaedah umum yang mana ketika kita marah kerana satu keburukan yang ada pada pasangan kita, pastinya ada kebaikan-kebaikan yang lain yang ada pada dirinya. Tatkala kita menyedari tentang hakikat tersebut pastinya kita tidak akan pernah membenci pasangan kita.

Bila kita mengharapkan pasangan yang sempurna ingatlah bahawa Allah swt sengaja menjadikan nikmat yang ada di dunia ini tidak sempurna agar kita sentiasa berusaha bagi mendapatkan kenikmatan yang sempurna di syurga.